Friday, September 11, 2020

[#throwback31] Gelap

Karya pendek

Gelap
oleh Rnysa

#throwback31
#happybirthday #kaksu

"Sejambak mawar untuk kekanda yang manis," ujarku lalu memeluk sepupu yang paling comel itu. Mata Kak Su sudah berderu dengan air mata. Perempuan, semuanya hendak diraikan dengan air mata...

"Datang seorang? Kaduk mana?" Mata kekanda yang masih basah itu memilau mencari si rambut perang. Macamlah Kaduk yang tinggi lampai itu sedang main sembunyi-sembunyi di belakang aku.

"Seorang saja. Dua hari lepas dia dah pergi ke laut..." Sedih aku menutur. Macamlah suami aku berkerja sebagai seorang nelayan pula. Pergi ke laut...

Kening Kak Su terangkat. Terkejut. Pantas dia memelukku, memberi semangat. "Bunga sajakah untuk Kak Su?" Kakak sepupu aku itu segera menukar topik perbualan. Tidak mahu membiarkan aku terus-menerus memikirkan suami yang berada di pelantar minyak.

"Kak Su nak LEGO?" usikku.
"Oh, untuk Ieman jahitkan baju kurung. Dah pandai pilih kasih ya? Syah dah tak sayang Kak Su, ya?"
"Sayang. Bertambah sayang dari hari ke hari..."
"Kalau macam tu, jahitkan sepasang untuk kekanda kesayanganmu ini. Boleh?"
"Kak Su percaya dengan skill menjahit Syah?"
"Engineer... mestilah ukurannya tepat dan betul!"
Aku tergelak. "Ieman tak cerita kisah baju kurungnya?"

"Kak Syah, kenapa baju ni bila pakai muat-muat saja?"
"Iya ke? Kak Syah ukur ikut baju yang terbaru. Mak Ieman juga yang beri."
"Betul ke? Kak Syah sengaja nak kenakan orang. Ieman mana pakai baju sendat macam ini. Kak Syah ni..."
"Sendat? Haa... Itu tandanya Ieman dah makin ge..."
"Mana ada!"
"Tulah... duduk di Ireland tu makan tidur saja, ya? Cuba contohi sikit Kak Syah yang rajin bersenam ni."
"Tahulah dia baru jadi ahli gym dan masuk kelas renang. Berlagak! Tak apa..."

"Kak Su nak merasa hasil tangan si Puan Insinyur. Baru-baru ini Kak Su ada dapat kain baju kurung dari kawan di Terengganu. Warna biru nila kesukaan Kak Su. Syah tolong buat tulang belut juga, tau. Kak Su nak pakai raya nanti."

"Tak mahulah. Nanti buat rugi kain saja. Syah tak mahir sangat..." Aku rasa hendak menangis saja. Kak Su, sekurang-kurangnya bagilah peluang Syah praktis  dulu 'bertukang' beberapa pasang baju sendiri. Kalau tak jadi, sempat lagi buat 'trouble-shooting'. Nak pakai untuk raya pula tu, haru...

"Makan tengahari di sini ya? Abang Rosdi beli ikan kerapu dari kawannya. Lima ringgit lima belas ekor. Kak Su ingat nak masak sweet sour. Tapi Syah kena tolong siang ikan." Kak Su sudah beralih cerita ikan kerapu pula. Mujur sangat! Tapi kena siang ikan?

"Aduh, kenapa tak beli yang dah bersih? Kak Su ni rajin sangat," puji aku. Padahal sekadar taktik hendak mengelak daripada kerja 'siang-menyiang' ikan itu.

***

Petang itu, sekali lagi aku singgah di situ. Pemilik kedai melemparkan senyum manis. Langkah diatur perlahan ke arah objek hitam berkilat. Penutupnya dibuka. Jari-jemariku menyentuhnya dengan lembut. Bunyi merdu berdeting. Bibir mengukir segaris senyuman tanpa dipaksa. Kenangan lama. Sesuatu yang terlalu ingin dimiliki pada masa lalu.

Telefon bimbit bergegar di dalam tas tangan. Ada mesej masuk.

"Kak Syah, esok akak bawa tajuk "Fiqh Wanita". Date kita 10 pagi. Kami semua rindu sangat dekat kakak. Tak sabar nak jumpa!"

Aku membalas seadanya. Sesuatu yang tidak disukai masa lalu, kini menjadi kemestian setiap hujung minggu. Tanggungjawab yang tergalas di bahu. Tanpanya hati rasa resah gelisah pula. Terbayang wajah adik-adik di Ambang Asuhan Jepun yang rindukan pengisian jiwa.

Sebelum pulang, pemilik kedai menyuakan sekeping leaflet. Aku mengambil dan membacanya. Dada berkocak. Nafas ditarik perlahan.

PIANO LESSON...

"Mahu daftar?"

Aku tidak pantas memjawab.

"Oh, sekarang merdeka sale. Kami beri diskaun untuk itu juga..." Matanya pula menyapa sebuah piano yang baru aku usik sebentar tadi.

"Mungkin lain kali..." balasku dengan sopan, menolak tawarannya entah untuk kali ke berapa. Namun leaflet itu tetap dibawa masuk ke dalam tas tangan. Kerana diri ini tak pernah berhenti mengenang masa silam.

Jauh di sudut hati ini, aku masih lagi Nurul Akasyah suatu waktu itu...
.
.
.
(bersambung...)

#RADHA

Petikan #throwback di atas daripada versi asal online entry RADHA 'Kak Su Belated Birthday' Special yang ditulis pada 12 Ogos 2007

❤️❤️❤️❤️

Kak Noor Suraya a.k.a Kak Su,
Selamat menyambut hari lahir yang ke-...ehemmmm... Sweet 18+
Entri #throwback ini khas buat emak Rose & Tux! 😘

Tak dilupakan, Al-Fatihah buat Abang Rosdi 🥀

No comments: