Friday, September 11, 2020

[#throwback29] Gelap

Karya pendek

Gelap
oleh Rnysa

#throwback29
#UmrahxHoneymoon

April 2008
Makkah Al-Mukarramah

Di sisi kanan pintu King Fadh no. 79 ke Masjidil Haram terpampang sebuah LED scrolling message board yang mempaparkan suhu dan masa semasa kota penuh barakah ini - 42 darjah celcius, jam 3.42 petang. Kami baru sahaja tiba dari mengambil miqat di Masjid Bir Ali semasa dalam perjalanan selama 5 jam dari Kota Madinah Al-Munawwarah menuju ke Kota Makkah Al-Mukarramah.

Aku tergamam seketika. Bagai tidak percaya sudah tiba di Masjidil Haram. Maka benarlah janji Tuhan dalam doa haekal yang ke-5 yang sering aku baca.

Dengan menyebut nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Penyayang.
Aku Berlindung diri kepada Allah Yang Tinggi dan Agung. Dia berkata : " Ya Tuhanku, sesungguhnya tulangku telah lemah dan kepalaku telah ditumbuhi uban, dan aku belum pernah kecewa dalam berdo'a kepada Engkau, Ya Tuhanku. Dan sesungguhnya aku khuatir terhadap mawaliku sepeninggalanku, sedang isteriku adalah seorang yang mandul, maka anugerahilah aku dari sisi Engkau seorang putera, yang akan mewarisi aku dan mewarisi sebahagian keluarga Ya'qub; dan jadikanlah ia, ya Tuhanku, seorang yang disukai. Sesungguh Allah akan membuktikan kepada rasulNya tentang kebenaran mimpinya dengan sebenarnya (iaitu) bahawasa sesungguhnya kamu pasti akan memasuki masjidil haram, insya Allah dalam keadaan aman, dengan mencukur rambut kepala dan mengguntingnya, sedang kamu tidak merasa takut. Maka Allah mengetahui apa yang tiada kamu ketahui dan Dia memberikan sebelum itu kemenangan yang dekat.

Benarlah, rasa aman itu Tuhan jelmakan dalam hati. Rasa tenang mengganti rasa takut. Sejak berada di Madinah lagi, ketenangan itu hadir dalam jiwa.

Sewaktu itu azan baru sahaja berkumandang dari corong menara Masjidil Haram menandakan masuknya waktu solat fardu Asar. Kami yang sudah tiba agak lewat menunaikan solat di lantai marmar luar pintu masjid sahaja kerana jemaah yang bersolat melimpah-ruah sampai ke luar kawasan masjid. Kata mutawwif dalam bas tadi, hari Khamis dan Jumaat merupakan hari cuti bagi orang di sini. Tambahan pula hari ini hari Khamis malam jumaat, makin ramailah orang di Masjidil Haram.

Aku menoleh ke belakang, memerhati kumpulan burung merpati sedang mematuk butiran gandum yang ditabur di sekitar kawasan anak tangga dan kaki lima menuju ke perkarangan masjid.

Kaduk berdiri di hadapan dengan kain ihram memilit di badan. Dia sudah bersedia mahu melangkah masuk ke perkarangan Masjidil Haram.

"Ainul Mardhiah, sudikah kau menemaniku mengunjungi Baitul Haram..." Bisiknya ke telinga aku sambil matanya melirik ke arah pintu masuk Masjidil Haram di hadapan kami.

Air mata pun mengalir perlahan. Tanda syukur pada-Nya. Tanda terima kasih Tuhan kerana menggerakkan hati si dia memberi hadiah yang tidak ternilai ini.

Terima kasih, cinta!
Ini bukan lagi sebuah mimpi.

***

Beberapa bulan sebelum itu...

Seawal jam tiga pagi aku sudah duduk berteleku di atas sejadah. Mataku tertumpu pada naskhah Tafsir Pimpinan Ar-Rahman. Menghayati ayat hafalanku seperti pagi-pagi sebelumnya. Selesai ulang baca beberapa kali langsung aku mendirikan solat berjemaah dua rakaat bersama Nur Jannatul Ma'wa. Usai solat dan menyemak semula bacaan hafalan tadi, telekung dan sejadah dilipat elok dan kemudian disangkut pada bangku. Mataku tertarik pada telefon bimbit yang berkelip memancarkan cahaya. Mesej agaknya, bisik hati kecilku.

Bulat mataku tatkala membaca mesej yang tertera itu. Jantungku berdegup kencang. Masakan dia tahu. Mungkinkah Firdaus...

Ainul Mardhiah, sudikah kau menemaniku mengunjungi Baitul Haram - C.D.A

Saat ini bibirku bergetar. Perasaan sukar dimengerti. Kelopak mata sudah berat. Akhirnya aku mengorak senyuman dan hatiku berbunga bahagia. Carl Duke Adam, adakah ini jawapan kepada segala teka-tekimu selama ini?

(bersambung...)

#RADHA

Petikan #throwback di atas daripada versi asal online e-novel 1 Phase, 3 Phase yang ditulis 14 Jun 2009 dan juga Relevankah Aku Di Hatimu pada 5 Ogos 2004. Entry Mekah ini saya tulis selepas balik daripada umrah nazar bersama-sama mak (Al-Fatihah 🥀).

No comments: