Friday, September 11, 2020

[#throwback32] Gelap

Karya pendek 

Gelap
oleh Rnysa

#throwback32
#CarlDukeArham #NurulAisyah #CarlDukeAkram

"Akram, kenapa senyum dekat tabung masjid?"
"Kan senyum itu sedekah. Sedang bersedekah la ni." Akram tarik senyum lebar-lebar.

Arham geleng kepala. Dia seluk kocek seluarnya. Ada beberapa keping syiling yen sahaja. Cukup untuk Akram dan Aisyah bersedekah hari ini. Arham terpandang sosok adik perempuannya yang berlari-lari anak ke arah mereka.

"Along Arham, Aisyah pun nak juga." Seperti tahu-tahu sahaja apa dalam fikiran abangnya waktu itu. Termengah-mengah adik perempuannya itu merapati. Aisyah baru habis giliran hafalan Quran di hadapan Syeikh Ahmad.

"Ambil ni..." Dia beri syiling 500 yen seorang sekeping pada Akram dan Aisyah. "Pergi masukkan dalam tabung." Ibu ada cakap, setiap perbuatan baik itu juga sedekah.

***

"Akram tengah buat apa?" Doktor Sufiah menegur cucunya yang sedang asyik bermain tanah sejak tadi.

"Oh, sedang tanam pokok. Ibu pernah cerita tentang hadis nabi: Seorang muslim yang menanam tumbuhan lalu dimakan oleh manusia atau haiwan, itu akan menjadi sedekah. Tadi ibu beri benih cili ini untuk Akram tanam." terang Akram sambil menyiram benih cili. Semoga cepat tumbuh ya!

Doktor Sufiah terdiam. Teringat kata-kata Adam dahulu, "Suatu hari nanti mama akan faham kenapa Adam pilih Akasyah."

"Nenek tanamlah juga." Akram yang comel menyua segenggam benih cili kepada neneknya. "Nanti boleh petik buat masak-masak."

"Bagusnya cucu nenek!" Kepala Akram diusap lembut. Sebak.

Maafkan mama, Syah!

***

"Tahun hadapan Along masuk sekolah semula. Aisyah nak ikut!" Aisyah buat muka monyok. Nanti dia sudah tiada kawan bermain di rumah. Akram masih kecil lagi. Hanya tahu tidur dan minum susu sahaja.

Arham yang sedang membalut buku teks berhenti. "Aisyah teman Akram. Jaga adik."

"Nak ikut pergi sekolah Along!"
"Belum cukup umur tujuh tahun. Mana boleh pergi sekolah. Umur macam Aisyah masuk tadika boleh la," pujuk Arham.

Mata Aisyah berair. Sedih sebab tak dapat ikut abangnya ke sekolah dan kena teman Akram di rumah pengasuh selepas habis tadika. Ibu yang baru habis memasak masuk campur. Lalu Aisyah pun bercerita dengan nada sedih. Ibu pandang pada Arham dengan mata yang lembut.

"Arham, nanti tolong ibu jaga Aisyah dan Akram." Mendengarkan pesanan itu Aisyah tidak jadi menangis.

Sampai sekarang Arham pegang amanah ibu - dia perlu jaga Aisyah dan Akram.

(bersambung...)

#RADHA #CarlDukeAdam #NurulAkasyah

Petikan #throwback di atas daripada versi asal online e-novel RADHA: BBF yang ditulis pada 9 Disember 2012, 18 Mac & 10 April 2013.

No comments: