Karya pendek
Gelap
oleh Rnysa
#throwback25
#rasasayanghey #rasasayangsayanghey
Sebelum menutup kotak kayu jati dari Kelantan itu, jari aku tersentuh sampul kad hari lahir yang aku terima dari Kaduk. Dan hatiku pun turut tersentuh.
--
Khas buat:
Bakal isteri yang dikasihi
Nurul Akasyah binti Othman
Ikhlas dari:
Bakal suamimu
Carl Duke Adam bin Carl Duke Akbar
--
Aku menarik keluar kad serba putih gading itu. Di dalamnya tersemat kerongsang perak batu hitam, tergantung huruf 'A' dan sepatu yang dihiasi dengan batu permata berkilau. Permata atau manik, ya? Nampak cantik sangat. Turut disisipkan juga sebuah loket perak bentuk hati. Kerana segunung rasa sayang dan segan hendak memakainya, loket dan kerongsang ini hanya disimpan dan terperuk begitu sahaja di dalam kotak kayu ini.
Kerongsang sudah, loket pun sudah. Mahu tunggu sejambak bunga ros pula. Syukurlah, anak mak sudah jadi semakin 'perempuan'... akhirnya!
***
Sejak bertukar status ini, aku pantang sahaja keseorangan. Mulalah kesunyian mencengkam diri. Kalau diikutkan hati, mahu sahaja berkepit dengan Akasyah dua puluh empat jam. Lagak seperti pasangan baru mengenal cinta. Ya lah, kami bercinta selepas berkahwin. Semasa bertunang dahulu pun, kami sama-sama telah berjanji untuk menjaga batas pergaulan. Aku sendiri berusaha sedaya upaya menahan diri daripada ditarik-tarik supaya mendekati gadis pujaan hatiku itu. Kadangkala rasa bersalah juga memikirkan tindakan aku menjauhkan diri daripadanya dahulu.
Aku beralih ke ruang rehat. Televisyen dipasang. Aku melabuhkan diri di atas sofa warna hijau serai. Aku baru sahaja hendak mengajaknya dia temankan aku menonton televisyen bersama-sama. Melihat perkembangan yang berlaku di dalam dan luar negeri. Alih-alih dia mahu beradu pula. Tak apalah. Dia kan penat mahu berehat. Aku memerhatikan langkah longlai Akasyah memanjat tangga ke kamar utama di tingkat atas, tidak sampai hati pula mahu menahannya.
Lagi-lagi berita tentang penindasan umat Islam dipaparkan. Aku jadi hiba. Islam yang bermula dari keadaan asing dan kembali menjadi terasing. Benarlah seperti yang diriwayatkan dalam satu hadis.
Dari Tsauban r.a, katanya Rasulullah saw pernah bersabda: "Hampir tiba satu masa di mana bangsa-bangsa dan seluruh dunia akan datang mengerumuni kamu bagaikan orang-orang yang mengerumuni hidangan." Lalu sahabat bertanya, "Apakah ketika itu bilangan kami kecil, ya Rasulullah?" Jawab Rasullah saw, "Tidak. Bahkan ketika itu bilangan kamu ramai namun cuma umpama buih-buih di lautan. Allah swt akan mencabut rasa gerun terhadap kamu dari hati musuh-musuh kamu dan Allah swt akan mencampakkan penyakit wahn ke dalam hati-hati kamu." Lalu sahabat bertanya, "Apakah penyakit wahn itu wahai Rasulullah." Kata Rasulullah saw, "Iaitu cintakan dunia dan takut mati."
Ya Allah... memang benar musuh-musuh Islam telah dicabut darinya rasa hormat pada pengikut Muhammad saw ini. Saudara seagama kami diperlakukan seperti binatang. Dibunuh sesuka hati. Segala tragedi yang menimpa sekarang mungkin atas sebab kita sendiri sudah terpesong jauh dari pegangan Islam. Islam hanya tinggal nama. Ya Allah, mungkinkah Kau sedang menghancurkan mereka yang tidak cinta padaMu?
Sepertimana yang terlaku pada kaum-kaum yang terdahulu, Allah menghapuskan kaum yang engkar pada muka bumi ini seperti dalam firmannya: "Wahai orang-orang beriman, sesiapa di antara kamu yang berpaling dari agamanya, maka kelak Allah mendatangkan suatu kaum yang Allah mencintai mereka dan mereka mencintai Allah, yang bersikap lemah lembut terhadap orang yang mukmin, yang bersikap keras terhadap orang-orang kafir, mereka berjuang pada jalan Allah, dan mereka tidak takut kepada celaan orang-orang yang mencela, yang demikian itu adalah limpah kurnia Allah diberikanNya kepada sesiapa sahaja yang dikehendakiNya dan Allah Maha Luas pemberianNya lagi Maha Mengetahui." (al-Maidah:54)
Nauzubillah... moga-moga aku dan kaum keluargaku dijauhkan dari fitnah akhir zaman ini dan termasuk dalam golongan mereka yang berpegang teguh pada Deen-Mu. Amin ya rabb.
Warta berita tiga puluh minit berakhir sudah. Aku mematikan siarannya. Tiada apa lagi yang ingin ditonton. Lagipun terlalu banyak hiburan yang dipaparkan sehinggakan aku naik risau mengenangkan nasib anak-anak aku nanti. Dalam ledakan hiburan tanpa sempadan ini, suatu cabaran besar bagi ibu bapa mahu mendidik anak-anak supaya menjadi soleh dan solehah. Dugaan dan godaan dari luar terlalu kuat.
Langkah diatur ke kamar utama. Aku membelai ubun-ubun isteriku yang sedang nyenyak tidur. Penat sangat agaknya. Aku memerhatikan nafasnya yang teratur. Susah juga rupanya kalau berkahwin dengan kawan baik kita sendiri. Kadangkala aku terpaksa menyuruh Syah bermanja-manja dengan diriku. Dia tu, malunya bukan main. Tetapi kesalahan tidak patut disandarkan pada dia semata-mata kerana aku juga memainkan peranan besar dalam mengusik setiap kali dia cuba memanjakan dirinya padaku.
Mataku tidak lepas memerhatikan wajahnya yang kelihatan comel seperti seorang bayi. Dia tersenyum tiba-tiba. Mimpikan aku agaknya.
Aku menarik nafas panjang. Akasyah, tak sampai satu jam aku sudah rindukan dia. Cepatlah hari siang. Abang rindukan gelak tawamu, sayang!
(bersambung...)
#RADHA #heylihatnonajauh #rasasayangsayanghey
Petikan #throwback di atas daripada versi asal online e-novel RADHA 2 yang ditulis pada 27 November 2004 & RADHA 3: Dari Pagar Ruyung Ke Den Haag pada 3 Januari 2009.
No comments:
Post a Comment