Karya pendek
Gelap
oleh Rnysa
#throwback26
#DenHaag #grandma #poskad
“Kamu tulis apa, Adam? Khusyuk betul grandma tengok...” Grandma yang sudah beransur pulih datang menyapa sedang aku bersantai di balkoni. Dia terus membelai rambutku lalu dikucupnya penuh kasih sayang seperti selalu.
“Poskad,” kataku separuh berbisik.
Sudah hampir dua bulan aku tidak mengirimkan poskad pada gadis Akasyah. Agaknya itulah punca Akasyah merajuk. Mujurlah aku cepat teringat dan segera aku menggeledah laci meja tulis. Jariku tersentuh beberapa keping poskad yang dibeli sebaik sahaja tiba di lapangan terbang sewaktu melawat nenek tempoh hari. Pena hitam mula menari-nari di atas kalam bisu. Dalam hati aku berharap agar kalam bisu itu bisa mengganti kata-kata. Menjadi penawar hati insan yang lara. Menyimpul rindu antara dua benua.
“Hari tu bukankah kamu sudah ke pejabat pos? Mengepos poskad juga, kata Emmetje. Poskad apa pula lagi? Ramai betul sahabat pena kamu, ya.” Ujar Grandma Aisyah kehairanan, lalu melabuhkan punggung di kerusi bersebelahan aku.
“Oh, yang tu untuk kawan. Kali ni saya mahu kirim pada Adeilah pula.” Balasku tanpa memandang wajahnya. Aku perasan dia cuba mengintai apa yang aku sedang coretkan di atas sekeping kad kecil ini.
“Adeilah? Buah hati baru kamu?” soal grandma dengan nada terkejut yang dibuat-buat.
“Bukan. Sofea Adeilah, cucu grandma. Takkan dah lupa.” Aku menjeling.
“Ingatkan Adeilah yang mana. Manalah tahu...” Katanya lagi dalam bahasa Belanda yang agak pekat.
Bahasa rasmi negara kincir angin ini selain daripada Frisian, ialah bahasa yang dituturkan di Fryslan yang letaknya di bahagian utara. Sesetengah dialek Low Saxon (Nedersaksisch dalam bahasa Belanda) turut menjadi bahasa pertuturan di bahagian utara dan timur diiktiraf sebagai bahasa regional oleh negara yang diterajui oleh seorang permaisuri, Queen Beatrix ini. Seperti di Malaysia juga, setiap negeri dalam negara ini mempunyai dialek masing-masing. Semakin ke selatan, bahasa Belanda terus bertukar ke Low Franconian dan bahasa Jerman.
Grandma Aisyah masih memerhati. Aku jadi kurang selesa terus-menerus ditenung setiap gerak-geriku. Waktu itu angin petang bertiup dengan lembut sekali. Harapnya janganlah hujan lagi petang ini. Langit memanglah cerah sahaja. Tapi manalah tahu ia akan berubah dalam sekelip mata. Aku sudah lama tidak menunggang kuda. Cadangnya selepas ini aku mahu ke kandang kuda yang letaknya tidak berapa jauh dari belakang rumah ini. Tadi aku sudah berpesan pada penjaga kandang kuda itu, Hubrecht, supaya menyiapkan seekor kuda untuk aku bawa bersiar-siar nanti.
“Sudah jumpa penggantinya, Adam?” sudah lama dia ingin bertanyakan hal penting itu kepada cucunya itu tetapi tiada ruang masa yang sesuai.
“Pengganti apa pula ni, grandma?” suara aku sedikit bergetar. Neneknya itu memang gemar bertanyakan soalan yang mencabar minda.
“Ya lah, seseorang mengganti kekasih kamu yang dulu. Grandma risau lihat kamu begini, Adam. Kamu seperti nggak gembira saja sejak ditinggal kekasih hati.”
“Perasaan grandma saja barangkali. Saya sudah pulih dari kesedihan itu... lama dulu.” Balasku cepat-cepat. Risau nenek akan menyoal yang bukan-bukan selepas itu.
“Lalu kenapa nampak masih bersedih? Jangan bohong sama orang tua, Adam. Tuhan dan nabi nggak suka sama orang suka berbohong. Kamu perlu contohi sifat ‘siddiq’ nabi kita tu, bukannya berselindung begini...” syarah grandma.
“Wah, nampaknya bahasa Indonesia grandma makin bagus, ya.” Usik aku.
“Emmetje yang mengajarnya. Sudah... baik kamu cerita, sebelum grandma telefon ke Malaysia dan bertanya sendiri pada mama kamu.” Gertak grandma.
Emmetje, pembantu rumah berketurunan Indonesia-Belanda sudah lama bekerja di rumah ini semenjak arwah datuk masuk Islam. Keluarga Emmetje sudah bertahun-tahun menetap di negara ini. Sudah terlalu lama. Kalau tidak silap, semasa zaman penjajahan Belanda di Indonesia lagi. Nenek moyangnya sudah meninggalkan tanah air mereka.
“Aduh grandma ni... sudah pandai ugut orang.” Aku masih rancak menulis. Adeilah sudah merungut yang aku hanya kirimkan poskad pada Akasyah sahaja. Dia pun mahu mengumpul poskad dan setem yang cantik-cantik juga. Si cilik itu kata, Achik sudah melebih-lebihkan sangat Kak Akasyah. Tahulah Kak Akasyah tu dah jadi buah hati Achik. Aku ketawa sahaja. Adik bongsu aku itu pun sudah pandai mengusik aku sekarang.
“Grandma tahu kamu lebih gerun sama mama kamu.” Kata wanita itu sambil ketawa senang. Dia tahu menantunya itu lebih tegas berbanding anak lelakinya. Carl Duke Akbar lebih berdiplomasi orangnya.
“Grandma masih ingat lagi, cuti Krismas masa kamu berada di tahun dua... waktu tu lah kamu dikecewakannya, sayang. Dan waktu itu, kamu berada di sini... melawat grandma bersama-sama dengan teman-teman kamu. Kamu tidaklah nampak sedih sangat. Kamu begitu tabah waktu tu. Kamu juga tenang sekali di hari pernikahan si dia...”
Aduh, grandma sudah ungkit cerita sedih itu lagi. Kenangan lama biarkan berlalu. Buat apa hendak disebut-sebut lagi. Kini dia tidak lebih daripada sebuah kenangan lalu. Kami sudah bersetuju akan jadi saudara sampai bila-bila. Aku bukannya sedih tentang si dia yang sudah berbahagia bersama yang lain. Aku memikirkan si dia yang seorang lagi.
“Tapi anehnya sekarang grandma nampak wajah kamu tu... seperti orang kehilangan isteri saja.”
Aku tersentak. Kehilangan isteri?
“Grandma!” Aku menjegilkan mata aku besar-besar.
“Tehnya, tuan muda.” Emmetje muncul di antara kami. Dengan penuh tertib dia meletakkan teko dan cawan di atas meja. Bekas gula dan krim pun disisipkan sama.
“Bukan tuan muda, Emmetje. Adam. Poskad ni beri pada Pak Sander, ya. Minta dia tolong pos sementara dia ke bandar tu.” Tegur aku sebelum poskad bertukar tangan. Dari dulu aku tidak gemar digelar ‘tuan muda’ oleh sesiapa. Aku sekadar cucu kepada tuan mereka ini. Emmetje lebih tua daripada aku. Sepatutnya aku menunjukkan rasa hormat kepadanya. Pak Sander (atau dalam bahasa Inggeris namanya Alexander) itu merupakan suami kepada pembantu grandma aku ini. Dia pula berketurunan Morocco-Turki.
“Wah, poskad Adeilah minta Sander poskan saja. Yang untuk teman sanggup bersusah payah meredah hujan lebat. Teman istimewa barangkali. Kamu tengoklah, Emmetje. Adam tak mahu kita tahu temannya yang satu itu... ” celah grandma.
Emmetje sekadar tersenyum sahaja.
“Emmetje, nanti bawakan telefon ke mari. Aku ingin bertanya khabar dengan orang di Malaysia...” kata grandma lagi sambil menjeling-jeling ke arah aku.
“Baik puan.” Kata Emmetje sambil tunduk hormat pada majikannya.
“Lebih kamu baik berterus-terang saja Adam...” ugut grandma lagi sebaik sahaja Emmetje berlalu. Namun aku terus membisu. Nenek aku itu bukannya boleh dilayan sangat, nanti teruk aku diusiknya tanpa henti.
“Daam van Karel Hertog!”
“Aduh, apa ni grandma?” Aku terus ketawa apabila nama Dutch aku diseru kuat-kuat begitu. Lucu rasanya. Nampaknya grandma sudah berang!
“Dia yang grandma kata teman istimewa itu... sebetulnya teman baik waktu di boarding school dulu.” Aku berterus-terang, mengalah juga akhirnya.
Grandma tersenyum. Rasa kemenangan berpihak kepadanya. “Kenalan lama...”
“Ya. Baru-baru ni waktu saya menelefon dia, dia seperti berat mahu bicara dengan saya. Suaranya mendatar saja. Selalunya dia tidak begitu, grandma. Kadangkala saya hairan dengan sikap perempuan. Satu hari mereka okey, keesokannya boleh merajuk tak tentu.” Aku terus mengeluh kemudiannya. Akasyah! Mengenangkan gadis itu aku merasa sayu. Merajukkah dia? Sudah hampir dua bulan menyepikan diri. Sesekali gadis itu buat hal, mati akal juga dibuatnya.
“Barangkali kamu ni terlalu banyak bercanda. Lalu hati perempuan sepertinya mudah terusik. Mungkin juga dia mahu bermanja dengan kamu. Ya, dia mahu dipujuk oleh kamu, Daam.” Balas grandma lalu mengenyitkan mata.
“Apa benar kalian berdua sekadar teman? Masakan kamu begitu sedih sekali dia merajuk begitu. Perkara biasa saja bila punya teman. Ada kalanya kita akan tidak bersefahaman....” Grandma yang banyak pengalaman itu sudah mula membuat pentafsirannya.
Aku ketawa kecil. Aku sendiri tidak pasti ke mana hala tuju hubungan kami. Hingga ke hari ini aku dan Akasyah masih berkawan baik. Teringat pada layanan dingin Akasyah apabila aku menelefon gadis itu dari Netherlands.
“Aku tahu kau belajar tentang robot, Syah. Tapi jangan dengan kau-kau jadi robot.”
Aku berharap gadis itu akan termakan gurau sendaku. Malangnya gadis itu hanya acuh tidak acuh. Aku jadi geram. Hatiku tercalar rasa terkilan. Mogoklah konon! Tapi lambat-laun aku juga yang dicari mengadu itu dan ini.
Niat ingin bercerita dengan Akasyah hilang begitu sahaja. Panggilan nenek yang mahukan segelas air suam disahut. Nenek baru sahaja dibenarkan keluar dari hospital. Namun begitu, badannya masih lemah. Sebagai cucu lelaki sulung, aku bertanggungjawab menziarahi nenek yang sakit. Lagipun aku sudah lama tidak menjenguk kaum kerabat sebelah bapa yang masih bermastautin di benua Eropah itu. Datuknya, Muhammad Al-Fateh sudah meninggal dunia sejak lapan tahun yang lalu. Maka tinggallah Nenek Aisyah keseorangan bertemankan tiga orang pembantu rumah. Selama ini Emmetje, Sander dan Hubrecht sahaja menjaga kebajikan nenek.
Sewaktu hidupnya, arwah datuk pernah menjadi profesor sejarah di salah sebuah universiti yang terkenal di negara Belanda itu. Dia cukup meminati dan mengagumi sejarah Islam. Selepas menganut agama Islam, dia terus menukar namanya kepada Muhammad Al-Fateh bersempena nama salah seorang khalifah Uthmaniyah yang berjaya menawan semula kota Konstantinople (kini dikenali sebagai Istanbul) daripada tangan tentera Byzantium. Selepas papa memeluk Islam dan berkahwin dengan mama, beberapa tahun lamanya selepas itu barulah grandma dan arwah grandpa menerima cahaya hidayah-Nya. Seperti juga grandpa, grandma sangat suka dengan kisah para nabi, terutamanya Nabi Muhammad SAW. Sudah banyak cerita dan hadis yang dihafalnya.
“Pulang semula ke London, kamu terus kuliah?” nenek sudah beralih kepada topik lain. Mujur sangat!
“Praktikalnya belum habis. Oktober baru kuliah semula. Insya-Allah, saya akan ke Korea dan Jepun. Sudah berjanji sama teman-teman.”
(bersambung...)
#RADHA
Petikan #throwback di atas daripada versi asal novel Relevankah Aku Di Hatimu yang diterbitkan pada 2006.
No comments:
Post a Comment