Friday, September 11, 2020

[#throwback36] Gelap

Karya pendek 

Gelap
oleh Rnysa

#throwback36
#andaikata

Pantas sahaja aku mencampakkan telefon bimbit di atas katil. Aku terus tidak bersemangat malam itu. Hati ini rasa sedih teramat. Tahu-tahu saja aku sudah mengalirkan air mata tanpa sebab! Kenapa mesti menangis begini? Aku bertanya pada diri sendiri. Kadangkala aku benci dengan sikap main-main Kaduk. Perkara ‘mati’ pun dia tidak boleh ambil serius.

“Andai kata kita saling tak berhubung dalam satu jangka masa yang lama... dan kau terasa kehilangan aku, kau kena tahu sebenarnya Dia sedang penuhi masa itu dengan sesuatu yang lebih bermanfaat untuk kau, sesuatu yang aku tak mampu beri pada kau.”

Apa maksudnya dengan berkata begitu? Nampak macam dia sudah mahu meminggirkan aku dari hidupnya saja. Sebaik sahaja Kaduk menuturkannya, aku rasa lemah. Awal-awal lagi aku sudah rasa lemah tanpa dia. Manakan aku mampu berdiri sendiri tanpa sokongan dia selama ini. Selain keluarga, siapa lagi yang meniupkan semangat dalam dirinya kalau tidak lelaki yang bernama Carl Duke Adam itu. Aku sudah dapat mengagak yang aku bakal kehilangan dia selepas ini. Perhubungan kami akan makin renggang. Itulah yang aku dapat rasakan sekarang. Apa puncanya aku tidak tahu pula. Mungkinkah dia sudah bertemu dengan seseorang dan tidak menyukai Kaduk punya hubungan rapat dengan aku? Ya lah, aku sedar bahawa selama ini aku sekadar teman rapat sahaja. Hubungan itu tidak dimeterai dengan sebarang perjanjian bertulis pun. Tiada bukti hitam-putih. Bila-bila masa sahaja hubungan tanpa perjanjian ini boleh ‘dimansuhkan’ tanpa perlu naik turun mahkamah pun. Semudah itu sahaja.

Mungkinkah dia sudah penat melayan kerenahku yang masih tidak lagi matang? Orang yang sering mengikuti isu semasa seperti Kaduk pasti memerlukan teman bicara yang mampu mengulas masalah dalam dan luar negara dengan segala macam fakta. Aku suka membaca tapi isu berat sebegitu kurang mendapat tempat di hati. Aku tidak gemar membebankan kepala dengan masalah yang tidak mampu aku selesaikan. Kalau setakat mampu bercakap sahaja tanpa tindakan, semua orang boleh mengeluarkan seribu satu komen. Oleh sebab itu, aku sekadar mampu bercakap isu yang kecil sahaja. Hendak bercakap tentang muzik, aku bimbang dia tidak berminat. Dulu pun dia semacam tidak suka aku bermain piano. Perasaan aku sahaja barangkali. Tapi...

Mujurlah kredit kad panggilan ke luar negara yang baru ditambah semalam sudah habis. Panahan bait kata temanku itu buat hati aku terluka. Kalau berbual panjang lagi dengan Kaduk tadi, aku boleh jadi sesak nafas tiba-tiba!

(bersambung...)

#RADHA

Petikan #throwback di atas daripada versi asal novel cetak Relevankah Aku Di Hatimu? yang diterbitkan pada Disember 2006.

No comments: