Karya pendek
Gelap
oleh Rnysa
#throwback21
#DearKakSyah
#SebenarnyaAchiksayangKakSyahsejakmulakenallagi
#Tapidiataknakmengakuselamaini #LOL
#SofeaAdeilahCarlDukeAkbar
Pada hari Sabtu yang dijanjikan, pagi-pagi lagi Carl Duke Adam sudah terpacak di kolej ditemani adik comelnya, Sofea Adeilah. Si kecil itu berlari datang mendapatkanku sebaik sahaja melihat kelibatku dari jauh. Pinggangku dipeluk erat.
Dia mendongak menatap wajahku. "Hari tu masa Kak Syah sakit, adik risau sangat. Achik lagi risau. Masa Kak Syah tak sedar lagi, achik tunggu kat hospital dari pagi sampai ke petang." Mulut Adeilah petah berbicara. Sesekali tangannya bermain-main hujung baju kurungku. Manja. Aku sekadar mengulum senyuman mendengarnya. Lelaki itu! Dia terlalu baik, bisik hatiku.
Kami berdua menuju ke kereta yang dipandu oleh abang Adeilah itu. Setiap langkah diiringi dengan debaran yang tiada kesudahan. Akasyah, dia teman baikmu. Buang perasaanmu itu jauh-jauh.
"Assalamualaikum..." Bagaikan tersekat suaraku di kerongkong. Sejak bila pula aku jadi gugup di hadapannya padahal setiap hari kami berjumpa. Dia datang menghantar bubur kemudian terus pulang. Tetapi itupun sudah menjadi buah mulut orang. Mungkin kerana dia datang sendirian tanpa ditemani oleh sesiapa. Waktu itu Adeilah sudah mengikut Auntie Sufiah yang berkursus di Langkawi. Kak Maya, pembantu rumah mereka pun dibawa sama. Baru semalam mereka semua pulang.
"Waalaikumussalam..." jawabnya lalu terus duduk semula di bangku pemandu.
Adeilah sudah pun mengambil tempat di kerusi belakang. Aku jadi serba salah. Mahu duduk belakang atau di hadapan? Kalau di belakang, nampak pula seperti mem besar. Nampak kurang sopan pula.
"Tunggu apa lagi?" tanya Kaduk sambil membukakan pintu dari dalam.
Aku menggelengkan kepala, segera melabuhkan punggung di sebelahnya. Adeilah yang menjadi penonton asyik tersenyum nakal.
"Kak Syah ni malu-malu pula. Macam tak biasa dengan Achik." Bulat mataku mendengarnya. Pandanganku beralih pada 'Achik' yang sudah tersenyum meleret.
"Kak Syah tu bukan apa... tengah praktis jadi perempuan melayu terakhir," tambah si abang pula.
Aduh! Dua beradik ini memang kuat mengusik. Teruk aku diserang bertubi-tubi oleh mereka. Akhirnya aku memilih untuk diam.
***
"Kau tahu kenapa aku tak beritahu pada Ammar yang aku sukakan dia?" ujarku setelah Kaduk membangkitkan semula soal Ammar entah untuk kali ke berapa.
Kaduk menggeleng. Juntaian rambut hadapannya diselak ke tepi.
"Sebab aku tak layak untuk dia..." Aku melemparkan pandangan ke arah kolam yang berisi ikan kap di sudut kiri taman mini rumah temanku itu. Hendak menatap wajahnya bila berbicara soal begini, aku tidak punya kekuatan.
"Mesti dia akan cari seseorang yang sepadan dengan dia. Macam budak perempuan yang kita nampak di KLIA tempoh hari. Baik, lemah-lembut, bertudung labuh... Aku ni? Kasar, kelam-kabut, emosional..." kataku tanpa berselindung lagi.
"Tapi baik hati," sampuk dia.
Aku mengerling. Diam seketika.
"Aku impikan seorang lelaki yang boleh membimbing aku. Menyayangi aku seperti mana aku menyayangi dirinya..." ujarku dengan penuh perasaan.
Kedengaran ketawa kecil tercetus dari seulas bibirnya. Setahu aku memang lelaki itu tidak merokok. Eloklah.... Setidak-tidaknya dia tidak menghitamkan paru-parunya dengan asap rokok yang punya segala macam bahan kimia yang bukan sahaja membahayakan kesihatan si perokok malah orang yang berada di sekelilingnya. Aku juga mahu mengelak daripada bersuamikan seorang yang merokok. Lagipun ayahku bukan seorang perokok.
"Aduh... berpegun hamba mendengar tuan hamba berpuitis," ujarnya dengan tawa bersisa.
Aku mencebik bibir. Biarkan sahaja usikannya itu dibawa angin lalu.
"Allah sudah janjikan... perempuan yang baik adalah untuk lelaki yang baik. Jadi, janganlah kau risau." Dia memandang sekilas. "Kau seorang yang baik. Insya-Allah... akan diketemukan lelaki yang baik juga. Kelemahan yang ada pada diri boleh diperbaiki sedikit demi sedikit. Sedangkan pantai boleh berubah, inikan pula kita manusia yang punya akal fikiran. Cuma perlu ada kemahuan dan disertakan dengan usaha. Jangan sekadar mengeluh nasib diri tanpa berusaha dahulu..."
Memang betul katanya itu. Aku boleh berubah cuma aku yang enggan berbuat demikian. Di kala pelajar putera lain mengejek kerana kekurangan yang ada pada fizikalku, dia menerima aku seadanya. Walaupun adakalanya aku melenting kerana merasakan dia cuba mengawal hidupku apabila dia cuba menegur sikapku yang kurang elok pada pandangannya sebagai seorang lelaki , dia masih setia menjadi temanku. Tetapi bila difikirkan kembali, tegurannya itu untuk kebaikan diri aku sebenarnya. Aku sahaja keras kepala mempertahankan keegoanku. Dan, sudah menjadi sifatku yang tidak suka dikongkong oleh lelaki. Memberi arahan itu ini seperti aku ini isterinya.
"Segalanya mungkin. Aku menanti saat itu kunjung tiba..." Kata-katanya itu mengakhiri pertemuan kami untuk hari itu. Dari percakapannya seolah-olah, dia meminta untuk aku berubah. Mampukah aku?
(bersambung...)
#RADHA
Petikan #throwback di atas daripada versi asal online e-novel Relevankah Aku di Hatimu? yang ditulis pada 10 Februari 2004.
No comments:
Post a Comment